Thursday, October 17, 2013

BERKORBAN BIAR IKHLAS, JANGAN PINTA DIBALAS

Salam,

Ini tinta pertama saya dan saya begitu teruja ingin berbicara tentang erti pengorbanan. Alhamdulillah, selesai sudah umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha pada 15/10/2013 bersamaan dengan 10 Zulhijjah 1434H. Sewaktu kecil, saya tidak begitu memahami apa itu hari raya korban .Yang saya tahu, hari raya korban adalah hari untuk orang Islam menyembelih lembu. ( waktu itu hanya tau lembu sahaja yang boleh disembelih pada hari raya korban ..heee ). Tetapi semakin diri menginjak usia dewasa, semakin luas pengertian dan definisi korban pada saya.

Secara historikalnya, ibadah korban adalah ibadah yang bertitik tolak dari pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s .Telah disebut di dalam Al -Quran  dimana telah menceritakan kisah pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S kepada anaknya Nabi Ismail A.S dalam memenuhi perintah Allah SWT supaya menyembelih putera kesayangannya itu untuk dijadikan korban. Cerita ini disebut dalam surah as-Saffat ayat 102 yang bermaksud:"...Nabi Ibrahim berkata, Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi, bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu?" Anaknya menjawab, "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, InsyaAllah ayah akan mendapati daku dari orang yang sabar."

Sekiranya kita di tempat mereka, adakah kita sanggup mengorbankan nyawa orang-orang yang kita sayang? Ibrah dari cerita di atas juga adalah kerana Allah S.W. T ingin menguji Nabi Ibrahim a.s yang ketika itu terlalu mengambil berat akan anaknya sehingga kadang kala mengabaikan suruhan Allah S.W.T. Di sini, saya sedar bahawa janganlah kita melebih-lebihkan cinta terhadap makhluk lain selain cinta kepada Allah juga lah yang paling agung dan utama ( peringatan kepada diri sendiri yang sering kali lalai dan alpa dek penangan cinta manusia).
Sesungguhnya pengorbanan Nabi Ismail a.s adalah ikhlas dan amat redha tatkala disoal oleh ayahnya, Nabi Ibrahim a.s. Beliau membenarkan nyawanya diambil demi cinta kepada Allah S.W.T dan tidak minta dibalas apa-apa kecuali balasan syurga di akhirat kelak. Ikhlas kah kita ketika seorang kenalan meminta bantuan ketika dia di dalam kesusahan? Ikhlas kah kita ketika membantu kedua ibu bapa kita membuat kerja-kerja rumah tanpa gagal mengukir sebuah senyuman dan tanpa keluhan ?

Mmm..saya sebenarnya menyoal diri sendiri kerana merasakan diri saya belum betul-betul ikhlas .Terkadang keluar keluhan kecil  tatkala disuruh membuat kerja-kerja rumah. Terkadang muka masam mencuka tatkala berbeza pendapat atau bertelingkah dengan tunang atau kawan-kawan. Terkadang mengharapkan balasan setelah pertolongan dihulurkan atau mengharapkan jasa dihargai. Ya Allah, sungguh saya masih lagi belum mampu mencapai tahap keikhlasan yang tertinggi.Masih lagi gagal meraih redha yang paling atas.Masih lagi hati dikuasai bisikan-bisikan syaitan yang sentiasa menghasut umatnya. Ampunkan hambamu Ya Allah.

Teringat saya akan satu kisah pengorbanan seorang ibu yang sedikit pun tidak pernah minta jasanya dibalas oleh sang anak. Si Ibu menyuruh si anak yang berusia 16 tahun untuk membantu si ibu membuat kerja-kerja rumah dan si anak telah meminta upah RM 5 bagi setiap pekerjaan yang dilakukakn.Si ibu pun menunaikan permintaan anaknya dengan membayar sejumlah wang . Pada suatu malam, ketika si anak sedang lena dibuai mimpi-mimpi indah, si ibu telah meletak sekeping nota di sisi bantal anaknya. Nota itu berbunyi :

KEPADA ANAKANDA TERSAYANG,

MENGANDUNGKAN AIMAN SELAMA 9 BULAN = PERCUMA
MENAHAN SAKIT KETIKA MELAHIRKAN = PERCUMA
BERPANTANG SELEPAS BERSALIN = PERCUMA
BERSENGKANG MATA MENJAGA AIMAN SIANG & MALAM SEWAKTU BAYI = PERCUMA
MENYUSUKAN & MEMANDIKAN = PERCUMA
MENYEKOLAHKAN AIMAN =PERCUMA 
DAN LAIN-LAIN SEMUANYA PERCUMA

Tatkala si anak terjaga dari tidur , dia lantas terlihat sekeping nota tersebut dan membacanya. Tidak semena-mena merembes air mata keluar dan baru lah si anak teringat akan upah yang diminta. Si anak lantas berlari mencari si ibu dan terus didakap si ibu bersama tangisan penyesalan . Si ibu yang memahami terus membalas pelukan dan memujuk dengan kata-kata yang sangat indah supaya si anak tidak lagi mengulangi perbuatan tersebut. Kata si ibu, " Kita hendaklah belajar berkorban dan berkorban biarlah ikhlas, tidak kira pada sesiapa pun pengorbanan itu dilakukan.Biar la Allah saja yang membalas segala kebaikan yang kita lakukan walaupun tidak dihargai di mata manusia ".  Si anak mengangguk faham dan tersenyum.

Mmm..semoga kisah di atas menjadi iktibar pada diri saya sendiri dan kita semua. 




No comments:

Post a Comment